Saturday, March 14, 2009

cabaran semasa selepas peperangan

Sejarah melakarkan satu stigma tersendiri apabila sesebuah peperangan berlaku. Autokrasi dan autonomi manusia yang berkuasa melihat keadaan peperangan ini memberi satu impak positif manakala bagi manusia yang hidup dibawah kuasa melihat peperangan merupakan faktor kemusnahan paling mengerikan. Perang dunia pertama (1914-1918) dan perang dunia kedua (1939-1945) telah memberi perubahan signifikan dalam pembentukan geografi sesebuah negara. Bukan sahaja geografi, bahkan budaya dan pengaplikasian politik juga rata-ratanya berubah secara total.
Justeru tatadunia baru menjadi garis pemisah untuk membezakan peradaban manusia selepas perang dunia kedua dan era semasa. Seorang tele-angelist Amerika Pat Robinson, memperdebatkan penggunaan moden frasa “tatadunia baru” telah diideakan pada awal abad ke-20 melalui seorang usahahawan inggeris, Cecil Rhodes yang mana telah mengunjurkan bahawa empayar British dan Amerika Syarikat perlu untuk mengambil kesempatan terhadap persekutuan kerajaan dunia dan berkapitalis ultra-imperialistik untuk membawa keamanan yang tiada berpenghujung[1]. Teori konspirasi yang bermula dari tatadunia baru ini sebenarnya berakar umbi dari ideologi Amerika Syarikat yang gemar merencanakan peperangan
Peperangan yang tercetus selepas 1450 berkait rapat dengan kelahiran negara bangsa. Antara akhir abad kelima belas dan akhir abad ke tujuh belas, kebanyakan negara di eropah menyaksikan satu pemusatan politik dan kuasa ketenteraan lazimnya dibawah pemerintahan putera beraja (namun, beberapa tempat pemusatan politik ini dibawah raja tempatan dan oligarki perdagangan)[2]. Pelbagai faktor telah melemahkan pengaruh feudal yang usang dan kelompok-kelompok sosial yang berlainan berhubung antara satu sama lain melalui bentuk kontrak dan kemestian yang lebih baru.
Namun begitu, peperanganlah yang menjadi pemangkin utama dalam membina negara bangsa berbanding pertimbangan falsafah dan kecenderungan sosial yang berubah secara beransur-ansur. Faktor ketenteraan -atau yang lebih baik, faktor strategi geografi akhirnya telah membantu membentuk sempadan wilayah negara bangsa yang maju ini[3], sementara peperangan yang seringkali berlaku mendorong ke arah gerakan kesedaran kebangsaan. Justeru agenda untuk membebaskan diri dari ancaman menjadi satu usaha terpenting demi kelestarian generasi yang akan datang.
Perang dunia kedua yang bermula pada september 1939 dan berakhir pada september 1945 berlaku disebabkan oleh cara layanan terhadap republik Weimar setelah perang dunia pertama dan kemelesetan ekonomi (The Great Depreesion). Maka pergerakan pelampau nasionalis NSDAP (Nationalsozialistische Deutsche Arbeiterpartei) iaitu Adolf Hitler bertindak untuk merebut kuasa di Jerman. Setelah kejatuhan kuasa besar di tangan Nazi, agenda nasionalisme dan gerakan penghapusan bangsa yahudi juga turut rancak berlaku. Menurut perangkaan, jumlah rakyat yang terbunuh pada peperangan siri ke dua ini mencatat kematian tertinggi iaitu 36 juta berbanding perang dunia pertama. Walaupun begitu, era selepas perang dunia kedua merupakan era untuk membangunkan semula negara yang musnah sepertimana Jepun pada hari ini menjadi salah satu negara maju setelah 50 tahun bangkit dari kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki suatu ketika dahulu.
Selepas perang dunia kedua, Amerika Syarikat telah menjadi sebuah negara hegemoni yang mengamalkan sistem kapitalis dan menjadi misi Amerika untuk ”menyatukan dunia kapitalis dalam satu sistem yang padu dan saling bekerjasama” di bawah pimpinannya[4]. dengan runtuhnya jajahan selepas perang, ketika negara baru berjuang demi kemerdekaan politik, Amerika Syarikat berusaha menjadikan negara baru itu jajahan jenis baru dengan alasan membantu mereka dalam usaha pembangunan ekonominya. Akibat daripada sistem ekonomi kapitalisme yang diamalkan oleh Amerika Syarikat ini, maka cabaran semasa ialah memulihkan kembali ekonomi dengan mendaulatkan kembali sistem ekonomi negara masing-masing.

Ekonomi
Kepesatan perubahan ekonomi dunia itu sendiri tidak tetap, dipengaruhi oleh keadaan penciptadan usahawan itu sendiri (sistem kapitalis ultra-imperialistik) dan juga boleh dipengaruhi oleh iklim, penyakit, peperangan, geografi, aturan sosial dan sebagainya[5]. Sistem antarabangsa yang dikuasai samada oleh enam kuasa besar atau hanya dua, akan tetap berada dalam keadaan huru-hara iaitu tiada kuasa yang lebih besar daripada negara bangsa berdaulat yang hanya mementingkan diiri. Dunia tidak lagi dalam keadaan beku pada abad ke-21 ini. beberapa ahli ekonomi bersetuju bahawa struktur penting perdagangan dan pengeluaran antarabangsa berubah jauh lebih pesat dari biasa.
Waima kepesatan ekonomi berlaku namun masalah ekonomi semakin meruncing dan kemiskinan penduduk bertambah buruk, meskipun pelbagai rancangan pemulihan ekonomi telah dilakukan, ,maka negara dunia ketiga mula mengkaji semula kedudukan mereka. Maka, salah satu tuntutan dari negara dunia ketiga ialah mengadakan order baru ekonomi dunia yang mengunjurkan kedaulatan ekonomi yang dimiliki oleh mereka sendiri. Malah, kedaulatan ekonomi juga merangkumi kedaulatan kegiatan ekonomi disebabkan oleh sistem kapitalis yang mengaut keuntungan sejagat

Cabaran semasa selepas perang dingin berlaku iaitu perang teluk di Iraq ialah cabaran globalisasi yang diperkenalkan oleh kuasa kapitalis terkemuka dunia, iaitu Amerika Syarikat. Menerusi NAFTA ( North America Free Trade Agreement) membuktikan penindasan kapitalis untuk mengaut keuntungan terhadap negara miskin seperti Mexico di Amerika Latin terus sahaja berlaku untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Malangnya akibat penindasan dan kesempitan ekonomi yang berlaku, perjanjian perdagangan bebas itu akhirnya gagal dilaksanakan.


Politik
Adalah menjadi satu kemestian untuk masyarakat menyelusuri tatadunia baru yang tercetus akibat dari perubahan pemikiran dan ketamadunan sosial sepertimana institusi keilmuwan kebangkitan zaman reinassaince dan empayar uthmaniah. Namun siri kejatuhan empayar islam kerana korupsi dan salah guna kuasa menyebabkan penganut Islam di negara Timur Tengah khusunya-Palestin menderita dan sengsara. Maka pada hari ini, masyarakat melihat konflik arab-israel sebagai satu konflik yang masih di takuk yang lama. Sekalipun agenda perdamaian kerap kali direncanakan namun konflik yang berlangsung lebih 6 dekad lalu tetap sahaja terjadi. Maka sidang damai annapolis baru-baru ini bukanlah penentu penamat terhadap pertembungan ideologi dua negara tersebut.
Cabaran semasa dalam tatacara berpolitik juga merupakan cabaran selepas perang yang perlu dihadapi oleh rakyat dan kerajaan. Sebagaimana yang berlaku pada Iraq setelah perang Amerika-Iraq pertamanya selepas perang teluk 1991, namun menjadi lebih agresif selepas seorang autokrasi iaitu Saddam Hussein digulingkan pada tahun 2006. Keadaan di Iraq pada hari ini menjadi lebih meruncing apabila struktur politik daripada sistem presiden-diktator kepada sistem demokrasi diubah. Ekonominya masih berjalan perlahan dimana iraq mencatatkan kerugian selepas perang sebanyak USD 100 billion. Bahkan sistem politiknya masih belum pulih sepenuhnya. Justeru inilah cabaran semasa membangunkan semula negara. aplikasi ilmu pengetahuan yang holistik, pertumbuhan ekonomi yang mapan dan sosio budaya yang mantap merupakan cabaran semasa untuk memulihkan negara selepas konflik dan peperangan
Manakala dalam konteks Malaysia,cabaran semasa yang perlu dihadapi selepas perang dunia kedua- merupakan perang terakhir setelah 500 tahun dijajah, adalah untuk mengekalkan semula keharmonian politik dan pentadbiran. Dengan menggunakan kaedah rundingan dan meja bulat serta rapat umum secara aman untuk mendapatkan kemerdekaan, pendekatan ini akhirnya berjaya untuk mengekalkan kestabilan politik negara. Meskipun terdapat beberapa cabaran seperti peristiwa 13 Mei 1969, namun Malaysia tetap sahaja mengambil langkah dengan menerapkan ideologi negara melalui Rukun Negara pada tahun 1971 yang diilhamkan ketika MAGERAN (Majlis Gerakan Kebangsaan) ditubuhkan pada 1970.
Sosial
Perkembangan social selepas perang dunia kedua menjadi refleksi terhadap pembangunan bangsa selepas era peperangan. Bukan sahaja di malaysia bahkan seluruh warga dunia yang mengalami kesan peperangan mengalami perubahan sosial. Adaptasi cara hidup dari warisan penjajah kadang-kala menjadi polemik terhadap isu kemerdekaan mutlak. Jika diperhalusi, perkembangan sosial di Malaysia menjadi sempit akibat daripada sistem pecah dan perintah yang diamalkan oleh british akhirnya memberi cabaran kepada Malaysia untuk menstrukturkan kembali masyarakatnya yang berbilang kaum. Dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai objektif serampang dua mata iaitu menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Dibawah beberapa kondisi sejarah yang spesifik dan implementasi polisi telah menjana perubahan terhadap kepentingan kolonial, kumpulan-kumpulan etnik berkembang dengan pengaruh etnosentrisme kerana mereka berhadapan dengan persaingan ekonomi dan diskriminasi politik yang mana mengakibatkan krisis hubungan antara kaum.[6] Oleh yang demikian itu, Tun Dr. Mahathir Muhammad teleh menggariskan 9 cabaran utama dalam wawasan 2020 ketika ucapan umum beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra 1991 bertajuk Malaysia: Melangkah kehadapan yang merumuskan pembinaan sosial haruslah berpaksikan nilai positif dan integriti keilmuan.
Kesimpulan
Cabaran semasa negara bangsa selepas perang dunia kedua tidak hanya tertakluk kepada satu kuasa pusat sahaja bahkan kuasa antarabangsa. Bahkan implikasinya terhadap negara-negara yang lemah secara relatif adalah besar. Tumpuan usaha nasional patut diberikan kepada perjuangan sosial demi keadilan, kemajuan dan kebebasan untuk semua warganegara. Langkah sebenar nasionalisme selepas perang dan melalui transisi tatadunia baru haruslah dilihat dengan lebih meluas agar kekuatan ekonomi, politik dan sosial tidak terus dipergunakan untuk kepentingan peribadi negara kapitalis. Bahkan cabaran semasa inilah yang menjadi tunggak untuk membina negara berdaulat tanpa dipengaruhi dan ditindas oleh mana-mana kuasa besar lagi.

[1] Keith, Jim (1995). Black Helicopters over America: Strikeforce for the New World Order. Illuminet Press
[2] [2] K. Paul (1988) terjemahan Perang, Wang dan Negara Bangsa, Kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar: perusahaan ekonomi dan konflik ketenteraan dari tahun 1500 ke 2000 Selangor: Percetakan Dewan bahasa dan pustaka. m/s 91
[3] Ibid., m/s 93
[4] C. Renato (1989) terjemahan Misi Amerika selepas Perang, Pilihan Nasionalis edisi semakan, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 1
[5] K. Paul (1988) Sejarah dan Spekulasi Kebangkitan dan Kejatuhan Kuasa-kuasa Besar: perusahaan ekonomi dan konflik ketenteraan dari tahun 1500-2000, Selangor: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka m/s 601
[6] A. Collins (1997) Conclusion: Towards A theory of Racial Polarisation, The Naked Social Order: The roots of Racial Polarisation in Malaysia Selangor: Pelanduk Publication, m/s 381

No comments: